Sunday 28 April 2013

Sejarah Lontar Peluru



Sejarah
            Lontar peluru tidak mempunyai sejarah permulaan yang lama berbanding dengan acara lontaran yang lain. Malah ketika rejam lembing dan lempar cakera telah mula diperkenalkan sejak zaman silam lagi, lontar peluru masih belum dikenali, malah masih belum wujud. Manusia mula melakukan aktiviti melontar batu yang dijadikan sebagai pertandingan bermula pada abad ke-19.
            Orang Scotland dan Ireland dianggap golongan pertama yang mencipta lontar peluru berdasarkan pertandingan melontar batu yang mereka lakukan ketika itu.Bagaimanapun lontar peluru tidak dapat diterima sebagai sukan di kedua-dua negara ini. Akan tetapi, apabila dibawa ke Amerika Syarikat, lontar peluru mendapat sambutan yang amat baik dan Amerika Syarikat menganggap kegiatan ini menarik dijadikan acara sukan yang dipertandingkan.
            Bagi menjadikan lontar batu acara sukan, diperkenalkan beberapa aturan dan salah satu aturan itu ialah berkaitan dengan kawasan untuk membuat lontaran. Kawasan itu berbentuk segi empat sama dengan ukuran 7 kaki × 7 kaki. Dengan demikian, lontar peluru dapat diperkenalkan ke negara-negara lain termasuk ke Greek, sebagai usaha memasukkan acara ini ke dalam Sukan Olimpik moden pertama tahun 1896.
            Cadangan itu telah diterima dan ternyata lontar peluru merupakan salah satu acara dalam Sukan Olimpik tersebut. Kawasan lontaran berbentuk segi empat telah digunakan untuk sukan Olimpik 1900 dan 1904. Akan tetapi, bentuk kawasan ini kemudiannya didapati kurang sesuai dan pada tahun 1909 bentuk kawasan ditukar kepada bentuk bulat yang berdiameter 7 kaki, dengan bahagian hadapan, iaitu tempat melakukan lontaran diletakkan papan yang seakan-akan penanda yang terdapat pada kawasan lontaran sekarang.
            Teknik lontaran ketika itu adalah pelbagai. Peserta bebas membuat lontaran mengikut keupayaan dan kesesuaian masing-masing. Pada tahun1950-an, seorang pelontar bernama Parry O’Brien dari Amerika Syarikat telah mecipta teknik lontar baru yang kemudiannya dijadikan teknik lontaran sehingga ini.
            Pada masa ini, acara lontar peluru telah disertai oleh lelaki dan wanita. Teknik lontaran juga diperbaiki dari semasa ke semasa bagi menjamin kelicinan dan peningkatan dalam lontarannya. Lontar peluru merupakan acara lontar yang paling mudah dilakukan berbanding dengan tiga acara lontaran yang lain. Untuk mendapat kejayaan dalam acara ini, pelontar peluru harus mampu mengenal pasti dan mengaplikasikan teknik dan gaya lontaran yang baik yang diperolehi melalui latihan bersistem di bawah pengawasan jurulatih khusus untuk acara ini.

No comments:

Post a Comment